Projek Falak Sem 1 Sesi 08/09..
Posted by Xunpheriz in My Study
Lepas habis exam Amali Komputer pada 20hb November, penulis dengan 3 orang kawan penulis terus bertolak ke Terengganu, menumpang kereta William, seorang pelajar Master di Makmal Fizik Angkasa, Fac Sains, UM. Perjalanan ni memakan masa selama 8 jam. Pukul 11 malam baru penulis boleh meletakkan barang dalam bilik sendiri. Kemudian keluar sebentar untuk makan.
Penulis ke sana untuk projek tahun akhir. Kerana penulis perlu mengambil data di Balai Cerap KUSZA, Bukit Merang, Setiu, Terengganu. Balai cerap tersebut sesuai untuk dicerap ketika matahari terbit kerana ufuk yang tidak dihalang berbanding di Teluk Kemang, Negeri Sembilan untuk matahari terbenam.
Sedikit malang, seringkali hujan pada waktu subuh. Penulis bersama dengan seorang kawan penulis yang sama tajuk projek, terpaksa bangun seawal 4 pagi untuk bersiap sedia & mengambil data. Pada waktu isyak, kami mesti bersiap sedia sebelum maghrib lagi agar tak terlepas data pada waktu isyak dengan data di ambil setiap 1 @ 2 minit sehingga pukul 8.20 malam.
Sepanjang 7 hari 6 malam di sana dengan kos penginapan sebanyak RM60 semalam (RM60*6=RM360), data pada waktu subuh hanya dapat diambil sebanyak sekali kerana lain hari, hujan turun renyai-renyai selain tertidur pada malam kedua. Manakala data pada waktu maghrib hanya dapat diambil sebanyak 3 kali.
Tajuk projek penulis ialah berkaitan Sky Brightness dan Twilight. Twilight bermaksud 2 cahaya, pada waktu matahari terbit dan waktu matahari terbenam. Sebab itu, wujud nya fajar kazib dan fajar sodiq pada waktu pagi serta syafaq ahmar pada waktu isyak. Projek ini untuk mencari kebenaran pada teori sudut tunduk 17 darjah, 18 darjah atau 19 darjah bagi falak di mana ulama zaman silam menetapkan sudut tunduk tertentu bagi masuknya waktu subuh dan isyak.
Penulis menggunakan SQM (Sky Quality Meter) untuk mengukur kegelapan di kawasan ufuk dan zenith. Ukuran diberikan dalam Arc Magnitud dengan bacaan paling tinggi sebanyak 22 arcmagnitud. Semakin gelap, bacaan semakin tinggi dan semakin lama masa diambil untuk mengambil bacaan.
Penulis bertolak balik pada 26hb November, Rabu. Penulis di sana bersama 11 orang yang lain, termasuk pensyarah penulis yang mengawal selia projek ini, 3 kawan penulis yang turut mahu mengambil data bagi projek mereka, pembantu makmal dengan 2 anaknya, seorang pelajar fizik tahun akhir dengan adiknya serta 2 pelajar Master yang membantu dalam projek ini dengan memberikan pandangan, nasihat dan arahan berkaitan.
Sebelum maghrib, penulis akan berada di balai cerap tersebut untuk bersiap sedia mengambil data dan berakhir selepas isyak, jika cuaca mengizinkan. Hanya 2 malam penulis tidur malam di bilik, selebihnya 4 malam lagi di balai cerap kerana penulis perlu bangun seawal 4 pagi bagi data matahari terbit.
Selepas sarapan pagi, penulis akan tidur sehingga tengah hari atau petang sebelum makan malam. Selepas itu, rutin tersebut berulang setiap hari. Tapi penulis sempat berkunjung ke Taman Tamadun Islam, Pasar Payang dan tempat-tempat lain pada 3 hari pertama di sana.
Di Taman Tamadun Islam, penulis melihat replika 14 masjid dari seluruh dunia, termasuk Malaysia, Brunei, Pakistan, Afghanistan, Iraq dan Arab Saudi. Sebagai kenangan, penulis membeli nota berharga RM8 yang mempunyai corak TTI.
Di Pasar Payang, penulis berjalan-jalan meninjau barang-barang di situ. Terdapat pakaian (seperti batik, sutera dan T-shirt), makanan (basah dan kering) serta perhiasan (cincin, jam tangan dan gelang). Berkunjung kali pertama, penulis membeli sehelai T-shirt berlengan panjang berharga RM22. Coraknya agak feminin kerana ia bercorak bunga di sebelah kiri depan dan bertulis Terengganu.
Tanpa disangka dapat berkunjung lagi ke sana, penulis hanya melihat cincin dan jam tangan. Tertarik kepada 2 bentuk cincin, penulis membelinya dengan harga RM10 setiap satu kerana penulis memang obses dengan cincin. Penulis melihat cincin tersebut agak jarang didapati. Mungkin sebab penulis jarang berjalan-jalan di Kuala Lumpur, tambahan pula cincin tersebut boleh dianggap sebagai kenangan dari Terengganu. Tapi penulis hanya minat terhadap cincin yang berukir tanpa batu. Melengkapkan lagi pembelian pada hari tu, penulis membeli sebuah jam tangan berharga RM15.
Agak dikesalkan, penulis terlupa untuk tawar menawar harga cincin dan jam tangan tersebut. Mungkin boleh dapat harga lebih murah? Siapa tahu.. Jam tangan perlu untuk masa sebab telefon bimbit penulis sangat cepat kehabisan bateri.
Apa pun, pemergian penulis ke Terengganu hanya untuk mengambil data bagi semester ini. Sebab projek falak adalah 6 jam kredit dengan 3 jam kredit setiap semester. Moga semester depan penulis dapat mengambil data yang lebih baik agar projek ini menghasilkan sesuatu yang bermutu sebagai rujukan bagi generasi masa depan. Penulis juga teringin untuk menyemak dan memahami kitab karangan tokoh falak zaman silam, terutama berkaitan cahaya merah dan fajar. Bagaimanakah mereka menetapkan sudut tunduk sebanyakn sekian sekian, dan dengan cara apakah kaedah tersebut dilakukan? Sekadar mana ketepatan kaedah tersebut, dan apakah terdapat lagi kaedah lain yang lebih tepat, mudah dan diyakini?..