Tazkirah Remaja: Muda bukan hanya sekali..  

Posted by Xunpheriz in

DETIK paling manis dalam kehidupan ialah zaman remaja. Semuanya indah dan berseri, malah badan kuat, kulit tegang, minda pun cerdas, sentiasa ceria tanpa bebanan membuatkan hati girang.

Oleh kerana itu, remaja menjadi harapan bangsa, negara dan agama, malah 1,001 harapan digalas di atas bahu remaja.


Tidak hairanlah semua ideologi mensasarkan remaja sebagai penerus kesinambungan perjuangan. Malah untuk merosakkan satu-satu bangsa selalunya diawali dengan merosakkan remaja.

Al-Quran ada menceritakan banyak teladan remaja. Cerita remaja ashabul kahfi memang patut dicontohi. Ketika manusia seluruhnya hanyut dalam sandiwara leka dunia mereka teguh lari menyelamatkan iman.

Malah, menurut riwayat, ada kalangan yang beranting-anting dan berambut panjang tetapi mereka tidak hanyut dalam kelekaan kerana ada roh agama.

Begitu juga Saidina Ali, dalam usia sembilan tahun berani menjadi galang ganti Rasulullah tidur di katil nabi laksana menggadai nyawa pada malam hijrah nabi.

Ramai remaja tertipu hidup berfoya-foya, ke hulu ke hilir tak tentu arah, asyik hendak berseronok saja, sehingga kadang-kadang terjebak dalam pelbagai skandal yang akhirnya merenggut kenikmatan remaja.

Antara sebab sesetengah remaja sanggup melakukan apa saja asalkan seronok kerana mereka berpendapat remaja hanya sekali saja, jadi bersukarialah sepuas-puasnya.

Pada mereka peluang hanya sekali. Bila tua terlepas segalanya. Inilah bisikan syaitan penuh racun yang menghancurkan remaja sepanjang zaman.

Remaja bukan sekali. Remaja sebenarnya dua kali, iaitu sekali di dunia dan lagi sekali di akhirat iaitu di syurga.

Mereka yang masuk syurga menurut satu hadis nabi ialah yang berumur lingkungan 30 tahun iaitu umur Nabi Isa.

Kenapa kita mudah tertipu dengan slogan iblis yang penuh racun itu? Slogan itu hanya mengajak dan meramaikan penghuni neraka.

Ini berpunca daripada salah tafsir mengenai keseronokan. Bila kita lihat kawan kita terbabit dalam lumba haram kita berasa mereka sangat seronok.

Justeru, tanpa berfikir panjang kita pun kepingin menurut mereka, kononnya seronok dan akhir sekali itu sajalah kita seronok. Selepas itu merana sepanjang hidup.

Remaja melihat pula mereka yang hidup bebas tanpa pegangan agama 'free love' membawa kepada 'free sex' terasa seronok, lalu terus mengidam.

Tetapi rupanya sekali itu sajalah seronok dan selepas itu merana dengan anak luar nikah serta pelbagai penyakit dan risiko.

Begitu juga dengan dadah dan segala pil khayal, berasa seronok konon melihat remaja lain mabuk dalam lautan khayalan, terus mencontohi mereka malah menjadi pelanggan dan penagih utama.

Keseronokan yang diharap rupanya kemudaratan yang berpanjangan melilit kehidupan. Demikianlah silap tanggap mengenai ketenangan dan keseronokan.

Betul sungguhlah ajakan syaitan, muda hanya sekali bererti mereka hanya muda di dunia saja dan tidak dapat menikmati muda kali kedua di akhirat iaitu muda di syurga.

Kenapakah ramai remaja tidak melihat sekumpulan remaja lain yang bukan saja berjaya dalam hidup tetapi juga tenang pada wajah dan watak mereka.

Selepas bekerja dengan tekun golongan ini bergegas ke tempat solat selepas terdengar azan Zuhur, membasuhi wajah dengan air wuduk kemudian dahi cecah ke sejadah dan berzikir berdoa tak lekang di bibir.

Kemudian, selesai mengerjakan solat mereka menyambung kerja dengan tekun dan tenang.

Apabila datang waktu Asar lagi sekali menghadap Allah, mengulangi lagi kemanisan beribadat. Dengan itu, wajah menjadi berseri dan badan pun sihat.

Sementara yang berumah tangga kehidupan rumah tangganya bahagia dan yang bekerja kadangkala menjadi ikutan kepada rakan yang lain di tempat kerja.

Bagi golongan terbabit, pelbagai majlis ilmu menjadi tumpuan sebagai santapan rohani dan minda. Mereka juga berhibur dalam batasan agama dan norma ketimuran yang penuh adap sopan.

Pendek kata mereka inilah yang mungkin mendapat muda dua kali, iaitu sekali ketika di dunia dan kerana menjaga nikmat remaja di dunia mereka mendapat kali kedua remaja di syurga yang kekal abadi.

Harian Metro, 1 Mei 2009

0 comments

Post a Comment

Blogger

My Photo
Xunpheriz
Kuala Lumpur, Lembah Pantai, Malaysia
interesting to explore the new thing, like to know more people, more to quiet in more situation, tidy, astronomy student..
View my complete profile

Labels

Affiliate (2) al-Mubarak (1) autoresponder (1) awal (1) Baca dan Menang (1) bebas hutang (1) belanja (1) beli (1) Berita Semasa (3) blaster (1) Blog (14) Diari (1) E-book (2) E-mail (1) ebiz (1) email (1) ESQ (3) Falak (2) GDI (1) Gigi (1) Google (1) GST (1) hutang buruk (1) Ilmu (1) IM (1) jana wang (1) Jenaka (1) jimat (2) kad kredit (3) KCLau (1) ke-2 (1) kebebasan kewangan (3) kecemasan (1) Kesihatan (1) Kewangan (4) KWSP (1) lindungi wang (2) Link (2) Love (1) Malaysian (1) Merdeka (1) Motivation (4) Mutiara Kata (2) My Business (14) My Life (16) My Study (5) NCD (1) Newbie (1) pasif (1) Pelaburan (2) pendapatan (1) penghujung (1) perbelanjaan (1) pertengahan (1) pinjaman (2) PPL (2) PTC (2) PTS (1) Ramadhan (7) Simpan (4) Simpan Challenge 2009 (3) spam (1) subscriber (1) Syawal (1) Tazkirah (4) tip kewangan (1) Trackback (1) Traffic (1) Twitter (3) World (1)